Isnin, 23 November 2009

Muhasabah: Tarbiyyah Rohani, tarbiyyah yang sering dilupai

Al- Fadhil Ustaz Mokhtar Senik

KETIKA BERDIRI DIHADAPAN CERMIN, LIHAT LAH KEKURANGAN DIRI JANGAN DILIHAT KELEBIHANNYA

Dalam rancak kita berbicara soal-soal tarbiyyah. Sering kita fokuskan kepada pembentukan fikrah, wala', sifat-sifat jundi dan qiady yang dikehendaki oleh jamaah dan beberapa perkara yang berkaitan dengan adab-adab berjamaah. Sering kali kita lupa kepada tanggungjawab membentuk fikrah rohani.

Saya tidak maksudkan tarbiyyah rohani disini ialah mendidik ahli jamaah tekun menunaikan ibadah, atau giat berqiamullail dan berma'thurat setiap hari. Namun apa yang saya maksudkan disini ialah "berfikir secara rohani". Berfikir secara rohani akan mengukuhkan lagi sifat-sifat kerohanian sehingga menyerlahkan hakikat sebenar sifat "mahmudah" yang diimpikan oleh semua hamba yang sejati. Apakah bentuk "berfikir secara rohani" yang diperlukan oleh anggota jamaah?.

1.) Memahami hakikat kerja dalam jamaah.

Kita perlu diasuh untuk memahami ruh sebenar segala kerja yang kita lakukan untuk jamaah ini. Apabila kita mengatakan berjamaah adalah wajib ( menurut usul fiqh, bagi mencapai maksud dakwah yang sebenar) bermakna segala kerja yang kita lakukan dalam jamaah ini adalah "ibadah". Apabila kerja dan pengelibatan itu ibadah, maka hendaklah kita faham bahawa;

a). Ibadah hendaklah dengan niat yang ikhlas Lillahi Ta'ala.

Sebagaimana solah, puasa, haji dan ibadah-ibadah khususiyyah yang lain menetapkan adanya niat kerana Allah, maka begitulah juga apa jua kerja yang kita lakukan untuk jamaah ini.Objektif utama kita ialah mencari keredhaan Allah. Ada sahabat bertanya kepada saya, kalau begitu mengapa dalam perjuangan ini kita harapkan kemenangan dan kuasa. Memang benar. Kita memang mengharapkan Kemenangan dan kuasa.

Tujuannya ialah untuk menegakkan khilafah Allah di mukabumi ini, bagi mencari keredhaan Allah. Justeru itulah kita Iltizam dengan matlamat "negara Islam". Jika perjuangan ini bukan kearah matlamat menegakkan "daulah Islamiyyah" yang terlaksana di dalamnya syariat Allah, maka kerja-kerja kita kearah meraih kemenangan itu tidak lagi "ibadah". Apabila kerja-kerja dalam jamaah ini sudah tidak lagi berwajah ibadah maka sendi-sendi perjuangan ini akan lumpuh disegenap peringkat.

Apabila kerja dalam jamaah ini bukan Ibadah, maka sudah tentu kita lakukannya untuk wang, atau pangkat atau bagi mencapai kepuasan nafsu. Sedangkan kita telah saksikan perjuangan yang bermatlamatkan wang akhirnya hancur kerana rasuah telah menjalar sehingga ketulang sulbi parti mereka. Jika dilakukan kerja jamaah kerana pangkat semata-mata maka telah kita saksikan perebutan jawatan yang sedang berlaku dalam sebuah parti di negara kita. Sehingga terhapusnya wajah dan sikap manusia bertamaddun saat pemilihan parti mereka. Perbalahan berlaku dimana-mana.

b). Ibadah hendaklah bersesuaian dengan sunnah Rasul.

Sesuatu amalan itu tidak dinamakan Ibadah jika berlawanan dengan sunnah Rasulullah saw. Justeru itu kita hendaklah sentiasa menjaga nilai-nilai sunnah dalam melaksanakan apa jua urusan dalam jamaah. Kita sememangnya dituntut berusaha untuk mendapatkan simpati, undi dan sokongan serta penyertaan ummat umum.

Namun usaha-usaha kearah itu tidak boleh dibuat secara terpinggir dari suluhan sirah Rasulullah saw. Jangan sekali-kali bersikap "asalkan menang, lakukan lah apa cara sekalipun atau yang penting kita menang dulu, selepas itu baru kita fikir tentang melaksanakan syariat Islam". Cuba kita lihat kembali bagaimana Rasulullah membentuk generasi dua'at yang pertama dalam sejarah perjuangan Islam.

Ada suara-suara yang berkata; "cara itu lambat menang". Lalu cuba tunjukkan kepada saya di Malaysia ini mana dia jamaah yang telah berjaya mencapai kemenangan mendahului Pas?.

c). Ibadah hendak dipelihara daripada perkara-perkara yang membatalkannya.

Setiap ibadah hendaklah terhindar daripada perkara-perkara yang membatalkannya. Solah tidak boleh diteruskan apabila wudhu' telah terbatal. Begitu juga dengan kerja-kerja jamaah ini. Jangan kita laksanakan kerja-kerja jamaah bersamaan dengan kita melakukan perkara-perkara yang haram. Mungkinkah kita mengharapkan pertolongan Allah dalam keadaan kita mendurhakai Allah?.

d). Ibadah menuntut sifat khyusuk dalam melakukannya.

Khyusuk umumnya bermakna sentiasa ingat pertemuan mereka dengan Allah dan yakin bahawa segala amalan mereka akan dibawa kembali kepada Allah. Khuyusuk,khususnya dalam solah bermakna berta'ammul ( memerhati dan menghayati) setiap bacaannya sepanjang solah. Bagitulah hakikatnya kerja kita dalam jamaah ini. Semua yang kita lakukan ( samada peringkat atasan jamaah atau bawahan) pastinya akan dibawa kehadapan Allah swt di Akhirat. Kita seharusnya menghayati perjuangan ini dengan sebenar-benar penghayatan. Keujudan kita (pas) bukan sekadar untuk memenuhi ruang kosong dalam politik di Malaysia. Kita ada tugas yang besar, tugas yang kita warisi dari Rasulullah saw, iaitu membangunkan kalimah tauhid sehingga meratai setiap inci bumi Allah ini.

e). Ibadah hendaklah dilaksanakan terus menerus tanpa jemu.

Ibadah adalah lambang pengabdian diri kepada Allah. Justeru itu kita tidak boleh jemu beribadah. Jemukah kita menjadi hamba Allah?. Sebagaimana kita tidak boleh merasa jemu menjadi hamba kepada Allah, kerana hakikatnya kita mengharapkan Allah setiap saat, maka begitu jugalah kita tidak boleh jemu beribadah kepadanya. sumbangan kerja yang kita lakukan untuk jamaah ini adalah sebahagian daripada ibadah itu.

f). Ibadah tidak dihalangi oleh susah atau senang dan apa jua rintangan.

Ibadah yang tulus ikhlas kepada Allah akan terus dilaksanakan walau apapun keadaannya. Solah umpamanya. Tiada keadaan yang boleh menghalagi kewajipan solah kecuali gila dan mati. Hatta saat di medan peperangan pun solah masih perlu dilaksanakan. Itulah juga tanggungjawab kita dalam jamaah ini.

Apakah saat mencapai kemenangan kita bersungguh-sungguh melakukan kerja-kerja jamaah, manakala saat ditimpa kekalahan kita berundur diri daripadanya?. Saat diberi jawatan kita aktif mengisi program jamaah, apabila tidak lagi memegang apa-apa jawatan kita terus berundur dari memberi sumbangan. Bukankah Allah mengajar kita, berilah infaq di jalan Allah samaada dalam keadaan senang ataupun susah.

JANGAN TERLALU KERAP MEMBICARAKAN DIRI MU KELAK AKAN HILANG ALLAH DARI PANDANGAN MU

2. Memahami hakikat perhambaan kepada Allah.

Walau dimana pun posisi kita dalam jamaah ini, kita secara umumnya adalah "hamba kepada Allah". Samaada kita yang berada dikerusi kepimpinan atau sekadar 'Amilin diperingkat bawahan. Semua kita wajib berfikir sebagai "hamba". Membentuk acuan berfikir sebagai hamba akan menjadikan kita;

a). Sentiasa berkhidmat kepada jamaah tanpa banyak soal.

Sifat seorang hamba ialah akan sentiasa patuh dengan batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh "Tuannya". Hamba tidak pernah bertanya apakah habuan yang bakal diterima sebagai ganjaran atas khidmatnya kepada Tuannya. Hamba sudah cukup berpuas hati dan bersyukur jika dapat berkhidmat kepada Tuannya sekalipun tidak dijanjikan apa-apa ganjaran.

Jika sifat sedardiri ini berjaya ditarbiyyah keatas seorang 'amilin dan petugas dalam jamaah, kita akan dapat saksikan pribadi tawadhuk yang cukup setia dengan arahan yang diberikan oleh jamaah. Kita tidak seharusnya berfikir apa akan Allah berikan atas jihad dan kerja-kerja jamaah yang telah kita lakukan. Kita lakukan tugasan ini kerana kita hamba kepada Allah. Takdir kata Allah tidak menjanjikan apa-apa janji kemenangan kepada perjuangan ini, kita masih tetap dituntut bekerja tanpa soal. Inikan pula bila Allah dalam banyak ayat-ayatNya menjanjikan kemenangan dan pertolongan atas perjuangan hambaNya.

Kita sebenarnya tidak layak bertanya bilakah kemenangan dan kejayaan akan diberi jika sekalipun kita telah mengerahkan seluruh tenaga dalam perjuangan ini. Inikan pula masih terlalu sedikit sumbangan yang kita berikan, masih terlalu sedikit masa yang kita peruntukkan untuk jamaah dan masih jarang benar doa kita untuk kejayaan jamaah.

b). Sentiasa beradab dengan adab hamba.

Adab hamba ialah rendah diri, banyak bekerja dari bertanya, lebih banyak berfikir apakah khidmatnya kepada Tuannya berbanding apakah anugerah Tuannya kepadanya dan setiap saat ia menjaga adab-adab perhambaan. Fikrah ini jika dimiliki oleh para 'amilin dalam jamaah, mereka akan sentiasa dihiasi dengan sifat-siafat mahmuudah. Akhlak yang dihiasi dengan sifat tawadhuk yang akan menjadikan ia sentiasa dicintai oleh Allah dan kawan serta disegani oleh lawan. Perasaan perhambaan itu akan sentiasa menjadi penasihat kepadanya, jika ia hampir tergelincir dari landasan jamaah. Ia tidak akan lari dari jamaah walau apa pun sebabnya, sebagaimana ia tidak sanggup untuk menjadi hamba yang lari dari Tuannya.

c). Sentiasa merasai kehadiran Allah dalam hidupnya.

Orang yang diasuh dengan "berfikir secara rohani" akan sentiasa merasai kehadiran Allah dalam setiap sudut dan penjuru hidupnya. Allah sentiasa hadir samaada saat ia bersendiri atau dikhalayak umum. Mereka tidak akan menjadi ahli jamaah yang hipokrit. Apa pun situasi yang dihadapinya ia tetap menyantuni Allah. Allah tetap bersamanya. Justeru itu ia tidak merasa gelisah dengan berlikunya jalan perjuangan yang dilalui. Jiwanya sentiasa segar dengan pengharapan dan keyakinan bahawa Allah tiadak akan pernah membiarkan dan mengabaikannya. Hasil kerja jamaah yang datang dari 'amilin yang sentiasa yakin dengan pertolongan Allah tidak sama dengan hasil kerja 'amilin yang dilonjak dengan pujian dan sanjungan.

d). Menghargai apa jua yang datang dari Allah.

Seorang hamba merasa sangat gembira jika dihadiahkan sesuatu oleh tuannya. Bukan nilai hadiah itu yang dilihatnya tetapi dari siapa hadiah itu datang. Justeru itu anggota jamaah yang diasuh dengan kesedaran ini sangat menghargai apa jua kedudukannya dalam jamaah. Jika Allah menganugerahkannya posisi ahli biasa, maka ia sangat bersyukur kerana itulah pilihan Allah untuknya. Ia tidak pernah merasa kecewa dengan pilihan Allah. Jika Allah menganugerahkan posisi kepimpinan untuknya, maka ia bersyukur dan akan menjaga anugerah itu dengan penuh amanah. Ia yakin, apa pun pilihan Allah pastinya itulah pilihan yang paling baik untuk dunia dan akhiratnya. Kerana Allah Maha Tahu dan Maha Bijaksana. Jika Allah menganugerahkan kemenangan, maka itu adalah kemanisan yang harus disyukuri. Jika Allah mentakdirkan kekalahan, maka itu adalah ujian yang perlu diredhai.


ORANG YANG DIPERANGI ALLAH TIDAK LAYAK MENDAPAT KEMENANGAN DARI ALLAH.

3. Berfikir secara rohani dan melihat sesuatu dari sudut hakikatnya.

Apa yang berlaku dalam dunia dan kehidupan ini ada hakikatnya. Tetapi "hakikat" itu sering terlindung oleh hijab kejahilan dan nafsu. Berkata Imam Al-Ghazali;

" Orang yang tidak sampai pemikirannya kepada "hakikat" sesuatu, tidak akan merasa kasih dengan sebenar-benar kasih dan tidak akan merasa benci dengan sebenar-benar benci".

Hassan Al-Basri berkata;

" Hamba yang ilmunya tidak sampai kepada "hakikat" sesuatu, mungkin akan kasih apa yang patut ia benci, dan mungkin benci apa yang patut ia kasih".

Melihat kepada kenyataan kedua-dua orang tokoh sufi yang terkenal ini, tentunya menggamit keinginan untuk kita ketahui apakah hakikat suatu yang patut kita fahami dan apa kebaikkannya untuk dakwah dan jamaah. Untuk itu marilah kita lihat betapa berhajatnya jamaah kepada penghayatan "fikrah Rohani" itu.

a). Memahami hakikat "suruh" dan "larang".

'Amilin yang berfikir secara rohani, menyedari hakikat Suruhan Allah dan larangan Allah. Suruhan dan larangan Allah tidak dilihat dari sudut "untung dan rugi", tidak dilihat dari sudut "baik dan buruk", dan tidak dilihat dari sudut "duniawi". Bila Allah menuntut ia berjuang, maka ia akan terus berjuang. Suruhan itu dilihat pada hakikatnya, iaitu datang dari Allah. Tuhan Yang diyakininya Maha Bijaksana dan Pengasih.

Sekalipun zahirnya kelihatan suruhan Allah itu menyusahkannya, namun kerana Yang memerintahkan itu ialah Allah, maka ia yakin Allah tidak akan menyuruh kepada suatu yang merugikannya atau membahayakannya. Mungkin pada zahirnya apa yang dilarang oleh Allah itu kelihatan merugikannya, namun ia yakin hakikat larangan Allah tetap kemudharatan. Allah tidak akan menyuruh kecuali suatu itu mendatangkan kebaikan dan tidak akan melarang kecuali suatu itu mendatangkan kemudharatan. Firman Allah yang bermaksud;

"Kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.-Al-Baqarah 216.

Tetapi ramai orang yang tidak melihat kepada hakikat sebenar "suruh dan larang" Allah. Sehingga intima' nya dengan jamaah hanya ditujangi oleh kepentingan dunia semata-mata. Ia bersama jamaah kerana dilihatnya disana ada peluang-peluang kebaikan untuk dirinya. Kemudian ditinggalkannya jamaah apabila dilihat merisikokan kerjaya dan kepentingannya.

Begitu juga dengan apa yang dilarang oleh Allah tidak dilihat kepada hakikatnya. Sehingga kadang-kadang ia kasih dan gemar kepada apa yang dibenci oleh Allah. Cuba kita lihat, betapa ramai anggota jamaah yang berada dalam saff Pendakwah dan 'Amilin yang masih bergelumang dengan sistem "Riba". Sedangkan Allah mengistiharkan perang terhadap orang yang masih beramal dengan Riba setelah ia tahu riba itu dilarang oleh Allah. Orang yang diperangi oleh Allah bermakna "musuh Allah". Tetapi oleh kerana gagal memahami hakikat larangan Allah, mereka masih berdoa dan bersolah hajat memohon kemenangan daripada Allah. "Mungkinkah Allah menolong musuhNya"?.

b). Memahami hakikat "mazmumah".

Mazmumah adalah sifat yang tercela. Seperti hasad dengki, ria, takabbur dan hubbu Dunia. Para du'at dan 'Amilin dalam jamaah ini diasuh menjauhinya. Namun kecelaan sifat-sifat tersebut tidak dapat dilihat benar-benar menjijikkan jika tidak dilihat dari sudut hakikatnya. "Sombong" umpamanya.Orang yang sombong hakikatnya manusia yang melupai Allah (bukan sahaja sombong kepada manusia).

Pertama kerana "sombong" adalah sifat Allah. Apakah hendak dirampasnya sifat Allah lalu dipakaikan kepada dirinya?. Berapa orang "Allah" sebenarnya dalam dunia ini?.

Kedua, orang yang sombong adalah manusia yang paling "tidak merasa malu" kepada Allah. Bukankah hakikatnya segala yang kita miliki ini, samada nyawa, ilmu, kekayaan, pangkat, jawatan, harta dan segala-galanya adalah pinjaman dari Allah?. Lalu mengapa sanggup untuk ia merasa sombong dihadapan Allah dengan apa yang ada padanya?.

Contoh yang kedua ialah Hasad dengki. Bukankah telah diyakini bahawa setiap yang berlaku ini adalah takdir dan ketentuan Allah. Allah lah yang memutuskan untuk memberikan suatu kepada seseorang dan menarik kembali sesuatu dari seorang yang lain.

Apabila seseorang itu hasad atas kelebihan seseorang yang lain, bermakna ia tidak bersetuju dengan ketetapan yang telah diputuskan oleh Allah. Apabila dilihat hakikatnya, akan kelihatanlah betapa jijiknya sifat dengki tersebut.Melihat sesuatu sehingga kepada hakikatnya akan mejauhkan seseorang itu dari segala sifat mazmumah selama-lamanya.

3. Memahami hakikat Dakwah dan Jihad.

Dakwah dan jihad bermakna mengajak manusia kembali kepada Allah. Mengajak mereka membuang segala keberhalaan dan syirik. Pendakwah bermakna manusia yang berkempen untuk Allah. Kempen agar musuh-musuh Allah (syirik) dikalahkan buat selama-lamanya, dan mukabumi ini bersih daripada kesyirikan terhadap Allah. Justeru itu mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah adalah lebih utama daripada sekadar mengajak mereka memberikan undi kepada jamaah. Ini tidak bermakna kita tidak memerlukan undi orang-orang yang bukan Islam. Apa pun jenis tugasan dalam jamaah semuanya adalah dakwah kepada Allah.

4. Sentiasa "melihat" Allah sehingga lupa terhadap dirinya.

Saya tidak maksudkan "lupa terhadap diri" itu bermakna "fana", yang sering dibincangkan dalam pengajian tasawwuf. Tetapi yang saya maksudkan ialah lupa untuk memikirkan dan membicarakan kelebihan dirinya, kerana sibuk membicarakan kesempurnaan zat,sifat dan af'al Allah. Jika dirinya mempunyai kelebihan, tidak dirasakan kelebihan itu miliknya sehingga lidahnya sentiasa menyebut berkenaan dirinya.

Apa yang sering disebutnya ialah kelebihan dan kesempurnaan Allah. Jika ia berta'aruf, maka ta'aruf itu sekadar untuk dikenali bukan untuk dikagumi orang. Di awal-awal Harakah diterbitkan dahulu, ada penulis yang menggunakan nama pena "renungan tajam". Mungkin pekara tersebut kelihatan kecil, namun hati hendaklah di jaga, agar jangan merasakan tulisan kita sahaja yang tajam, tulisan yang lain tidak tajam atau kurang tajam.

Ada juga yang menulis; " sebagai seorang mujahid dalam jamaah saya tidak punya banyak masa bersama keluarga...". Mengapa harus kita yang menggelarkan diri kita "mujahid"?. walaupun kita benar-benar berharap Allah mengangkat kita sebagai mujahid dijalanNya. Namun gelaran itu biarlah orang lain yang menyebutnya untuk kita. Atau ada juga yang menulis; " dalam hal dakwah ini saya memang "rajin". Mengapa kita perlu menghakimkan diri kita?. Biarlah orang lain yang menilai kita rajin atau pun tidak.

Orang yang sentiasa bertawajjuh kepada Allah, akan lupa untuk membicarakan siapa dirinya, bagaimana ia dalam jamaah ini, rajinkah ia atau mujahidkah ia.. Imam Ibnu 'Atho' Llah berpesan;

"Jangan terlalu kerap membicarakan dirimu kelak akan hilang Allah dari Pandangan mu".

Seorang Ahli sufi berkata;

"Aku tidur sepanjang malam,kemudian aku bangun dengan menyesal ( kerana terlepas solah tahajjud) ..( lalu penyesalan itu ) lebih aku kasih berbanding jika aku berdiri sepanjang malam (kerana beribadah) kemudian keesokannya aku bangun dengan rasa ujub."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Firman Allah S.W.T

Mutiara Kata...

Pengamanah Agama:
“ Sesungguhnya seorang muslim itu tidak diciptakan untuk mengikut gelombang, lalu berjalan menuruti langkah manusia ke mana sahaja mereka berjalan dan berhadap.
Tetapi seorang muslim itu diciptakan untuk menghadapi dunia, masyarakat dan peradaban, yang menentukan arah yang wajib dituruti oleh manusia, mendidik dan mengarah kehendak Islam kepada umat manusia kerana mereka punya “risalah”, punyai ilmu yang “yakin”, mereka bertanggungjawab terhadap keselamatan dunia, perjalanan dan arah tujuannya. Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula ke pada Ilahi. ”

Salam Ukhwwah...

We Begin With Nature

iklan

iklan